POSTED BY ibn Nasir as-Syaukawi on 4:30 PM under
Setiap dari kita punya rasa hati. Punya emosi dan ego yang tersendiri. Bagi lelaki, pastinya ego itu lebih meninggi. Wanita pula banyak bermain dengan emosi. Itulah hakikatnya makhluk ciptaan Allah yang bernama manusia. Mustahil rasanya untuk kita lari dari lumrah ini.

Lelaki dan ego, itu sinonimnya. Itulah juga hakikatnya. Sebagai lelaki, aku juga akur akan caturan ini. Ya, kami lelaki sememangnya kaya dengan ego. Dengan ego itulah kami mampu membuat keputusan dengan lebih tegas. Dengan ego itu kami dapat mencari dan mencipta peluang yang hebat. Tetapi adakah itu merupakan tiket untuk kami gah dengan ego itu?

Dari pengalaman, di sini aku bercerita...
Aku punya ramai kawan. Ada yang boleh dikategorikan sahabat, tapi tak ramai. Lebih ramai yang aku anggap mereka sebagai teman, kawan atau sekadar kenalan. Dari kalangan pengikut black metal, pengidap HIV, sehinggalah kepada ustaz, profesor mahupun pegawai atasan kerajaan, semuanya aku punya kawan dari kelompok itu. Masing-masing punya ego tersendiri.

Aku meneruskan cerita...
Baru-baru ini aku berkesempatan ber’usrah’ dengan bekas pimpinan pelajar di sebuah IPTA. Aku baru mengenalinya sekitar tiga bulan. Beliau punya idealisme yang cukup hebat. Fikrahnya jelas. Ingin melihat mahasiswa hari ini lebih dinamik dan mampu mengubah suasana kampus agar lebih islamik dari sebelumnya.

Dengan fakta-fakta hujahan yang cukup konkrit, aku dapat mengagak bahawa bekas pimpinan mahasiswa ini bukan calang-calang. Dari isu politik kampus, kami cuba merobek isu-isu di sebalik kecelaruan yang berlaku di arena politik perdana. Juga diselitkan dengan isu antarabangsa yang makin meniupkan bahang revolusi mutakhir kini.

Eh, apa kaitannya 'ramai kawan' dan 'usrah bekas pimpinan mahasiswa' ini dengan isu EGO itu?

Begini ceritanya...
Dalam ramai berkawan, banyak perkara yang dapat aku buat penilaian. Bagi golongan yang berstatus hebat di barisan pimpinan, ego mereka kadang-kadang tidak jelas. Namun terserlah dengan ketegasan yang dizahirkan. Ya, tegas itu hanya lahir apabila adanya ego! Adakah boleh dibuat kesimpulan bahawa jika ingin jadi pemimpin, kita perlu ada sifat ego yang tinggi? Bagi aku YA, tetapi berSYARAT.

Kamus Dewan Edisi Empat mendefinisikan EGO seperti berikut:
(égo) persepsi seseorang tentang harga dirinya, yang seterusnya mempengaruhi keyakinan dirinya: dan sebagai hamba yang sudah bebas kembali, ~nya datang, keperibadiannya tumbuh, sifatnya sebagai manusia berkembang dan mengukuh kuat; beliau mengakui bahawa perasaan ~nya.


Pemimpin dan EGO
Untuk menjadi pemimpin, antara perkara yang perlu dititikberatkan ialah kredibiliti. Bagi menjamin kredibiliti itu pula perlu ada keyakinan yang kuat pada diri untuk memimpin. Keyakinan diri itu pula bersandar pada diri seseorang yang bangga dengan diri.

Kita memang perlu bangga dengan diri sendiri. Aku teringat dengan satu bengkel yang pernah aku hadiri di Dewan Bahasa dan Pustaka tahun lepas, iaitu bengkel Kaseh CVR. Satu bengkel yang berorientasikan dramaterapi, dan objektifnya antara lain mengenal kelebihan dan mencungkil potensi diri. Meskipun semasa bengkel itu para peserta termasuk aku lebih diberi pendedahan tentang potensi diri seorang remaja, namun modul-modul yang diajar boleh dipraktikkan untuk semua peringkat umur.

Antara modul yang diajar adalah rutin yang perlu diamalkan setiap pagi apabila menghadap cermin (pastinya sebelum pergi ke tempat kerja). Kami telah diberi setiap seorang cermin untuk ditatap beberapa minit. Semasa melihat cermin, kami diminta menyebut beberapa perkataan azimat! Dengan kuat!
• Cantik/Handsome
• Hebat
• Yakin
• Berani
• Sukses

Wah, macam perasan sahaja! Ya, memang itu yang diajarkan kepada kami. Dan sebenarnya secara langsung menunjukkan tahap keyakinan kita terhadap diri sendiri setiap kali melafazkan lima perkataan azimat itu di hadapan cermin! Cuba pembaca lakukan sendiri. Mesti akan ada perasaan ‘sesuatu’ yang akan timbul semasa aktiviti itu dibuat. Cubalah! Ya, sekarang!

Sebenarnya daripada modul ini kita akan dapat menilai kembali tahap keyakinan diri kita. Di situ juga ada terselit ego yang akan mengasak-asak perasaan untuk bangga dengan diri. Salahkah perasaan itu? TIDAK, sememangnya kita perlu bangga dengan diri. Tetapi sekali lagi.., ianya berSYARAT.

Berbalik kepada cerita yang aku kongsikan di atas, aku dapati ramai kawan dan kenalanku yang punya ego ini. Dan mereka juga pimpinan. Alhamdulillah, ego mereka juga berSYARAT!

Hah, sudah tiga kali aku menulis perkataan “berSYARAT”. Kenapa? Kerana sebetulnya syarat itu perlu jika ingin ego itu tidak memakan diri sendiri.

Egolah sepuasmu, TETAPI jangan sampai orang membenci.
Egolah sepuasmu, TETAPI jangan sesekali melampaui batas Ilahi.
Egolah sepuasmu, TETAPI jangan ketepi suruhan Ilahi.
Egolah sepuasmu, TETAPI bukan untuk berdengki.
Egolah sepuasmu, TETAPI pandulah ia untuk maslahat umat dan diri sendiri!

Cuba jeling-jeling barisan pimpinan di tempat anda. Adakah mereka juga punya ego? Egonya bertempat kah? Positif? Negatif?

Hmm.., macam pelik sahaja bunyinya. Biasanya kalau diungkit fasal ego, semuanya negatif. Ada ego yang positif kah?

Ada sesiapa yang hendak kongsikan pandangan? Komen..., jangan tak komen...
1 comments so far:
    hero June 12, 2009 10:46 PM , said...

    hehe abang nas... betul gak tuh..kadang pimpinan ego.tapi mereka kena ego utk membuktikan bahawa mereka adalah pemimpin.tapi ego yang dibenarkan yek?emm sy pun ntah tak brape nak faham... sekiranya egonya kita tak suka maka kita kenalah ada komponen yang sering berbaik sangka.jadi egonya tak mendatangkan kebencian kepada kita.tapi saya sering berdoa semoga saya sentiasa menjadi seorang yang lurus tetapi juga seorang yang berilmu.saya bimbang dengan ego kerana ianya menjarakkan saya dengan Tuhan kerana apabila saya berbangga dengan diri saya rasa hati saya akan rosak.kalaulah saya menjadi pemimpin moga menjadi pemimpin yang berhati baik dan berakhlak mulia..err betul ke abang nas?

     

Copyright :: bila tinta berbicara :: | Using the GreenTech Theme | Bloggerized by Falcon Hive.com