Alhamdulillah, semalam aku berkesempatan menghadiri satu sesi tazkirah sempena Nuzul Quran di Masjid al-Muqarrabin, Bandar Tasek Selatan (depan umah je) oleh Ustaz Ramli Endut, bekas Pengarah JAWISesi tazkirah ini dibuat selepas selesai solat tarawikh. Di sini aku coretkan sedikit sebanyak catatan buat renungan sahabat-sahabat sekalian.
Pelajarilah al-Quran
Sesungguhnya al-Quran itu adalah satu kitab yang mulia. Sebagai umat Islam yang mengaku beriman dengan kitab (sebahagian rukun iman), adalah wajib bagi kita mempelajari al-Quran itu kerana ianya merupakan satu-satunya panduan kepada umat manusia.
Umat Islam hari ini ramai yang boleh membaca al-Quran. Alhamdulillah. Namun, adakah bacaan itu betul dan menepati apa yang sewajarnya? Bagaimana dengan tajwidnya? Fasahahnya? Maknanya? Tuntutannya? Tertibnya? Semua persoalan ini perlu diteliti dan diperhalusi kerana inilah yang akan menentukan kesempurnaan kita dalam membaca al-Quran. Justeru, amatlah wajar bagi kita untuk mempelajari ilmu-ilmu berkenaan al-Quran sebagai pelengkap ibadah kita.
Kenapa dikatakan sebagai pelengkap ibadah?
Kerana sebahagian besar ibadah kita adalah bertunjungkan al-Quran. Contohnya solat. Bacaan di dalam solat seperti al-Fatihah yang merupakan sebahagian rukun solat adalah petikan al-Quran. Jika tidak sempurna bacaan kita, bagaimana mungkin kita dapat melaksanakan solat itu sepertimana yang dianjurkan oleh Baginda SAW.
Realiti manusia hari ini, tidak ramai yang sanggup memperuntukkan masa, tenaga, mahupun wang ringgit untuk al-Quran. Tetapi untuk menghantar anak-anak ke kelas-kelas tuisyen, kelas musik, kelas tarian, dan macam-macam kelas lagi, ramai ibubapa sanggup menghabiskan ratusan ringgit setiap bulan. Jika ada tawaran atau pelawaan untuk kelas al-Quran, ada yang akan beralasan, " ala, kat sekolah kan dah ada kelas agama. Ustaz ustazah diaorang dah ajar daa.." Adakah mentaliti seperti ini akan terus bersarang dalam minda orang kita? Orang Islam!
Sedih apabila mengenangkan senario sebegini...
Cuba kita datang menjenguk ke kelas-kelas al-Quran yang biasanya ada di buat di masjid-masjid. Berapa kerat sangat yang hadir? Itupun yang ada adalah golongan veteran, ataupun pesara-pesara yang sememangnya telah menjadi tetamu tetap rumah Allah. Ke mana perginya golongan-golongan muda yang masih gagah tenaganya, tegap badannya dan sihat tubuhnya? "Owh..sibuk dengan urusan kerja.." Tetapi adakah ini sebabnya? Atau sengaja mencari dan mencipta alasan? Jawapannya ada pada diri kita sendiri.
Ilmu al-Quran
Koleksi ilmu yang terkandung di dalam Kitab Allah ini amat hebat. Jika mempelajari al-Quran, kita akan ketemu. Lembaran sirah menyaksikan, al-Quran itu diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW secara berperingkat-peringkat selama 23 tahun! Satu tempoh yang amat panjang. Rasionalnya, penghayatan dan pengamalan berpandukan ayat-ayat yang diturunkan dapat dilaksanakan dengan sempurna. Jika kita mendapat tawaran ke universiti (contohnya) untuk mengkaji satu kitab yang mengambil masa selama 23 tahun pengajian, adakah kita sanggup?
Tetapi Allah itu Maha Mengetahui sesuatu yang mampu dipikul oleh hamba-hambaNYA.
Mungkin pengajian selama itu tidak akan wujud. Kerana al-Quran itu telah dibukukan. Dimashafkan. Kaedah untuk mempelajari dan memahami al-Quran juga lebih mudah dengan adanya pelbagai alat bantu yang cukup moden mengikut peredaran semasa. Meskipun demikian, masih kurang yang benar-benar teruja untuk mendalami ilmu al-Quran itu. Apakah lagi alasan kita?
Ringkasan peringkat penurunan al-Quran
Seperti yang kita sedia maklum, al-Quran itu disimpan Allah di Luh Mahfuz dalam satu bentuk yang hanya Allah dan malaikatnya sahaja memahaminya. Daripada Luh Mahfuz ini al-Quran diturunkan terus ke Baitul Izzah (langit dunia) secara total dan kemudiannya diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW secara berperingkat-peringkat melalui perantaraan Jibril AS.
Menurut riwayat Ibn Abbas, al-Quran itu diturunkan sekaligus pada malam Lailatul Qadar daripada Luh Mahfuz ke Baitul Izzah. Kemudian, diturunkan secara berperingkat selama 23 tahun kepada Nabi SAW. Dalam tempoh itu, Nabi SAW dapat mengajar umat Islam ketika itu memahami al-Quran dengan baik secara berperingkat-peringkat juga.
Penurunan al-Quran yang berperingkat itu ada yang berlaku atas sebab sesuatu dan ada juga yang tidak. Sebab itu tidak semua surah ada asbabul-nuzul.
Kaitan hati dan al-Quran
Hakikatnya, al-Quran itu hanya dapat mendiami pemilik hati-hati yang ikhlas sahaja. Sebab itu tidak semua di kalangan kita yang mampu menghafal Qalam Allah ini. Dalam erti kata lain, kita perlukan hati yang benar-benar bersih dan ikhlas untuk menghafal al-Quran. Jika tidak, hafalan kita tidak akan kekal lama.
Di sekolah-sekolah, biasanya kita akan diminta oleh para ustaz mahupun ustazah untuk menghafal beberapa ayat atau surah hafazan. Itu kisah di sekolah- sekolah suatu ketika dahulu. Hari ini, adakah kita masih ingat ayat/surah hafazan tersebut? Mungkin pada masa itu niat kita adalah untuk lulus periksa ataupun ujian tasmi'. Alangkah ruginya kita..Tepuk dada, tanyalah iman masing-masing.
Menghafal ayat-ayat al-Quran menjanjikan pelbagai kelebihan kepada umat manusia. Di samping ianya akan menjadi pelindung kita di alam kubur dan alam akhirat, dengan menghafalnya juga akan memelihara kita daripada sifat nyanyuk yang merupakan antara penyakit yang ditakuti apabila umur meningkat tua. Dengan adanya al-Quran di dada juga, kita akan terhindar dari sifat-sifat mazmumah yang akan meracuni hidup insani.
Di bulan Ramadhan, kita amat digalakkan untuk bertadarus. Ia bukanlah sesuatu yang bid'ah. Malah para malaikat akan menghamparkan rahmat dan berkat dalam satu-satu majlis tadarus. Nabi SAW pernah menyatakan dalam sabdanya yang mahfumnya, " Bacalah al-Quran dan khatamlah ia dalam tempoh tidak lebih 40 hari."
Hari ini masuk 17 Ramadhan. Sudah berapa juzuk kita baca?
Sahabat-sahabatku. Jadikanlah madrasah Ramadhan tahun ini sebagai satu titik tolak untuk kita terus mencintai al-Quran. Bukan setakat membaca, malah cubalah untuk memahami dan mempraktikkan segala apa yang terkandung di dalamnya. Teruskanlah usaha kita untuk mendalami al-Quran. Jangan sesekali merasa jemu untuk mempelajari segala ilmu yang berkaitan dengan al-Quran. Itulah Dustur Allah, panduan hidup kita. Itulah pegangan yang menjanjikan kebahgiaan hidup dunia dan akhirat!


