L : lambaian I : itu M : makin A : akhirItulah hakikatnya. Lambaian Ramadhan itu makin berakhir. Ia melambai, bukan untuk datang menyinggah, tapi melambai untuk mengkhabarkan titip perpisahan. Lambaian itu makin sayup. Hanya ada lima..Lima hari lagi! Ya, itu sahaja peluang yang berbaki buat kita. Tahun hadapan? Kita sendiri masih belum pasti. Pasti dengan jaminan yang kita akan bertemu Ramadhan akan datang.
Tazkirah Ustaz ZulRamli di IKIM.fm pagi tadi cukup mengesankan. Membuat kita sama-sama berfikir sejenak. Bermuhasabah...adakah kita benar-benar telah merebut peluang yang Allah hamparkan seluas-luasnya di bulan yang penuh barakah ini? Adakah kesan tarbiah Ramadhan itu telah sebati dalam jiwa kita?
Sahabatku...
Berbicara tentang muhasabah Ramadhan, adakah kita sehebat Saidina Umar al-Khatab? Di riwayatkan, hari-hari terakhir Umar di bulan Ramadhan banyak dihabiskan dengan bermusahabah. Sehingga jelas kelihatan seperti alur di pipi beliau lantaran banyaknya air mata yang mengalir. Air mata itu mengalir kerana bersyukur. Air mata itu juga mengalir kerana merasa tersungkur. Bersyukur kerana diberi peluang oleh Allah untuk melakukan ketaatan dan kebaikan. Tersungkur kerana merasa berdosa dek kurangnya amalan dalam mencari kecintaan Tuhan. Kurangkah amalan si Umar? Sedikit benarkan kebaikan yang dilakukan sehingga menangis di hadapan Rabbul Jalil?
Pernah Rasulullah SAW bertanya kepada Jibril AS tentang kebaikan Umar. Jawab Jibril, “Andainya batang-batang pohon yang ada di muka bumi ini dijadikan pena dan seluruh lautan itu dijadikan dakwatnya untuk aku mencatat kebaikan Umar, maka tidak tercatat olehku. Kerana kebaikan yang dilakukan oleh manusia bernama Umar ini terlalu banyak.”
Subhanallah...
Begitu hebat riwayat hidup insan yang cukup soleh dengan Penciptanya. Walau banyak kebaikan yang telah dibuat, masih merasa kerdil dan berdosa. Tidak putus-putus mengharap pengampunan dari Allah.
Ramadhan - di dalamnya telah dijanjikan segala-galanya. Rahmat, pengampunan dan perlepasan dari azab seksa neraka. Kini ia makin hampir untuk meninggalkan kita. Adakah wujud walau sedikit rasa sedih untuk berpisah dengan Ramadhan? Atau kini kita kian gembira kerana dalam tempoh lima hari lagi, hari-hari kita seterusnya kembali “normal”?
Muhasabahlah sahabat-sahabatku...
Mengalir air mata kesedihan orang-orang soleh dengan pemergian Ramadhan. Persis ditinggalkan kekasih yang masih belum tentu akan dapat berjumpa dengannya lagi. Bagai tidak mahu dilepas saat-saat akhir bersama Ramadhan. Kerana Ramadhan itu cukup hebat! Dengan Ramadhan sahaja amalan kita digandakan. Dengan Ramadhan sahaja kita bisa bertemu dengan Lailatul Qadr – malam yang lebih baik dari seribu bulan. Dengan Ramadhan sahaja kita dapat mengecapi janji Allah yang didahulukan sebelum tiba hari akhirat.
Janji Allah yang didahulukan?
Ya, janji Allah untuk melepaskan hambaNYA dari azab neraka. Janji itu hakikatnya tertunai di akhirat. Tetapi di bulan ini, Allah telah membuka peluang seluas-luasnya, sebesar-besarnya untuk kita meraihnya terlebih dulu. Semuanya tercatat di bulan barakah ini. Diakhir-akhir persinggahan Ramadhan. Andai itu yang kita dapat kecapi, beruntunglah! Andai itu yang kita lepasi, teramat rugi dan akan menyesallah!
Di hujung persinggahan Ramadhan, di mana kita? Sibuk di tempat untuk mencari barakah, atau sibuk di tempat mencari juadah....?


