POSTED BY ibn Nasir as-Syaukawi on 10:10 PM under
ALQURAN SEBAGAI PENYEMBUH (SYIFA’)

Dalam meniti kehidupan dunia yang penuh dugaan ini, kita perlukan panduan. Sebagai umat Islam kita amat beruntung kerana telah dibekalkan dengan panduan yang cukup lengkap untuk kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat, iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Jika difikirkan dengan logik akal, adakah cukup dengan HANYA dua bekal yang disediakan Allah ini akan dapat membimbing kehidupan umat manusia yang cukup lama? Sesungguhnya pengetahuan Allah itu Maha Luas. Dan Dia Maha Mengetahui setiap apa yang telah diaturkan untuk hambaNya.

AlQuran – satu mukjizat paling agung yang dianugerahkan Allah kepada Nabi Junjungan SAW. Dalam apa jua pekerjaan, hendaklah berpandukan Dustur Allah ini. Jika tidak, segalanya akan musnah. Kita akan sesat untuk mencari jalan pulang! Yang pasti, turunnya al-Quran itu adalah sebagai satu jawapan kepada setiap permasalahan manusia. Tiada masalah yang tiada jawapan di dalamnya. Cuma di sana perlukan usaha kita untuk mengkajinya dan dilengkapkan dengan Sunnah Nabi SAW.

Ramai di kalangan kita yang sering memandang enteng akan kehebatan mukjizat ini. Dengan adanya al-Quran di dalam dada, kita lebih mudah menghadapi segala apa yang telah Allah takdirkan dalam hidup kita. Meski susah mahupun senang, kita tetap tenang. Kerana al-Quran secara tidak langsung mendidik kita menjadi hamba yang cukup tawaduk dengan Tuhannya.

Ramadhan dan al-Quran
Bersempena dengan Ramadhan, serikanlah hari-hari kita dengan al-Quran. Ianya dikatakan sebagai pelengkap dalam penyempurnaan ibadah. Sesungguhnya kita masih belum dapat menjamin bahawa puasa yang kita lakukan sepanjang Ramadhan diterima Allah. Mungkin ada cacat celanya. Dengan membaca alQuran, sekurang-kurangnya ia dapat menampung kembali lompong-lompong kecacatan dalam ibadah puasa kita, insyaAllah. Bukan hanya untuk puasa, tetapi juga untuk ibadah-ibadah yang lain kerana turunnya al-Quran itu juga adalah sebagai pelengkap ataupun penyempurna amalan.

Keberkesanan al-Quran itu bergantung kepada niat. Adakah kita membaca alQuran untuk mendapat hidayah? Untuk dijadikan ubat? Untuk mohon petunjuk? Untuk mencari barang yang hilang? Itulah al-Quran. Jika kita niatkan betul-betul, insyaAllah, keberkesanannya ada. Masalahnya, adakah kita punya niat semasa membaca alQuran? Ramai yang menjawab tidak! Mungkin kerana sudah menjadi rutin, kita membaca alQuran tanpa diselarikan dengan niat. Bukankah setiap amalan kita itu didasari dengan niat? Dan itulah yang akan dinilai oleh Allah!

Banyakkan selawat
Begitu juga dengan membaca selawat ke atas Nabi SAW. Perlu ada niatnya. Sebab itu boleh dikatakan hari ini telah banyak tulisan-tulisan yang menceritakan perihal selawat dan kepelbagaiannya, dan dikhususkan pula dengan niat-niat tertentu untuk panduan kita.

“Barangsiapa yang berselawat satu kali dengan penuh khusyuk kerana Allah, tidak akan ada dosa padanya walau sebesar biji sawi” – (au kama qal) maksud hadith.

Dengan niat semoga Allah permudahkan urusan dan membuka pintu-pintu rezeki, maka selawatlah sebanyak 500 kali sehari. InsyaAllah, akan diberi kemudahan oleh Allah untuk mencapai hajat kita itu.

Renung-renungkan wahai sahabatku!

Ikhlas
Dalam mengerjakan sesuatu ibadah kita dituntut untuk melaksanakannya dengan penuh khusyuk dan hati yang ikhlas kerana Allah. Sesungguhnya untuk menilai keikhlasan sesorang itu adalah sesuatu yang mustahil kerana sifatnya adalah tersembunyi. Terdapat dua keadaan apabila kita berbicara tentang ikhlas iaitu:
1. Ikhlas berbuat sesuatu kerana Allah.
2. Tidak ikhlas berbuat sesuatu kerana sesuatu.

Nilai keikhlasan itu amatlah besar. Dengan nilai itulah sesorang akan mengecapi kemanisan dalam ibadah. Rasa tidak jemu untuk memenuhi seluruh kehidupan dengan pengabdian yang sebenar-benarnya kepada Allah Yang Maha Agong. Meski pun nilai itu tersembunyi dan hanya kita dan Allah sahaja yang tahu, tapi ianya cukup mengesankan.

Ada Yang Tersembunyi
Al-Quran dan keihklasan itu adalah sesuatu yang sinonim. Jika kita meletakkan keikhlasan itu sesuatu yang tersembunyi, begitu juga al-Quran. Di dalam al-Quran terlalu banyak perkara yang tersembunyi. Kita perlu menggali segala rahsia yang tersembunyi untuk mencari kehebatan al-Quran.

Sebagai contoh, kalimah “alif, lam, mim” yang dinukilkan Allah dalam beberapa surah dalam al-Quran tidak mengkhususkan makna. Jika merujuk kepada kitab-kitab tafsir, ada yang tidak menyatakan makna, dan ada yang memberi makna “Hanya Allah Yang Maha Mengetahui”. Ada juga yang lebih mengkhususkan maknanya kepada yang lebih detail seperti alif = ikhlas, lam = lillah dan mim = matlamat. Umumnya, di sebalik kalimah Allah itu ada rahsia yang ‘tersembunyi’. Wa Allahu A’lam.

Dengarlah...
Dalam membaca al-Quran, kita dituntut mendalami ilmu tajwid untuk memperelokkan bacaan. Ada yang dikurniakan Allah dengan kebolehan mengalunkan bacaan al-Quran dengan baik sekali dengan qiraat-qiraat yang tertentu. Ustaz berpesan, kita jangan lihat siapa yang membaca al-Quran, sedap atau tidak bacaan mereka, tetapi yang lebih penting DENGARLAH al-Quran itu dengan ‘sedap’. Sebab itu adalah kalimah Allah, kalimah yang cukup indah!

...kuliah bersambung...

0 comments so far:

Copyright :: bila tinta berbicara :: | Using the GreenTech Theme | Bloggerized by Falcon Hive.com