POSTED BY ibn Nasir as-Syaukawi on 1:32 PM under
(Sepanjang bulan Ramadhan, pejabat GISB ada menjemput beberapa orang ustaz untuk memberi kuliah Ramadhan. InsyaAllah, sedikit sebanyak catatan (ringkasan) yang penulis dapat sepanjang kuliah tesebut akan ditulis di dalam blog ini untuk renungan bersama.)

03092008 / GISB Kota Damansara
Ustaz Abdullah Mahmood (Siri 1)

Kedatangan Ramadhan saban tahun sebenarnya memberi makna yang cukup besar kepada seluruh umat Islam. Kehadirannya dicipta Allah sebagai satu platform untuk hambaNYA mengejar sebanyak mungkin ganjaran dariNYA.

Bagi yang berpuasa, dijanjikan pahala. Begitu juga yang tidak berpuasa! Benar, Allah juga menjanjikan pahala buat mereka yang tidak berpuasa atas sebab-sebab yang dibenarkan oleh syariat seperti wanita dalam haid atau nifas. Jika berpuasa juga, berdosa pula.

Di awal tibanya Ramadhan elok benar jika kita berkesempatan memanjatkan doa pada Yang Maha Esa agar dipanjangkan umur supaya dapat mengutip segala rahmat yang telah dijanjikan sepanjang Ramadhan hingga ke akhirnya. Pada pengakhiran Ramadhan pula, mohonlah padaNYA agar diberi kesempatan untuk bertemu dengan Ramadhan akan datang. Andainya ditakdirkan kita mati pun di bulan ini, moga sisa-sisa hidup yang masih ada dapat kita manfaatkan sebaiknya.

Mati itu satu ketetapan yang telah ditentukan sejak azali. Namun, tarikh sebenar ajal kita tiba adalah sesuatu yang tidak mustahil bagi Allah untuk mengubahnya – andai kita ikhlas memohon. Saudaraku, pohonlah padaNYA sungguh-sungguh. Mohon agar dipanjangkan umur agar dapat berbakti padaNYA sehabis mungkin terutama di bulan Ramadhan ini. Insya Allah, Allah itu Maha Mendengar permintaan hambaNYA!

Pengunjung Ramadhan
Hadirnya Ramadhan juga memberi ruang kepada roh-roh insan di Luh Mahfuz yang telah meninggal dunia untuk turun ke bumi Allah. Roh-roh ini akan berkampung di kawasan perkuburan, tempat jasad mereka di tanam untuk :
1. Melihat keadaan jasad mereka di bumi
2. Melihat anak-pinak dan orang-orang yang menerima harta pusakanya
3. Mengutip rahmat dan berkat Ramadhan

Roh-roh begitu rindukan saat-saat untuk melihat jasad di bumi – terdapat beberapa keadaan jasad yang telah ditanam di bumi. Keadaan ini akan dipertontonkan Allah kepada roh yang berkenaan. Semuanya bergantung kepada amalan mereka di dunia.

Dinyatakan bahawa apabila mati seorang anak Adam itu, jasad dan rohnya akan berada dalam beberapa keadaan:
1. Jasadnya reput, dan rohnya naik ke langit (orang biasa)
2. Jasadnya tidak reput, dan rohnya naik ke langit (orang yang dapat kelebihan - hafizullah)
3. Jasadnya reput, dan rohnya terawang-awang di langit (orang yang rohnya tidak diterima Allah)
4. Jasadnya tidak reput, dan rohnya terawang-awang di langit (orang yang derhaka pada Allah – tukang sihir)
5. Jasadnya tidak reput, dan rohnya bebas (orang yang mati syahid)

Majlis Ilmu Di Bulan Ramadhan
“ Satu saat di dalam majlis ilmu, pahalanya sama seperti 100 rakaat solat sunat.” Di bulan Ramadhan pula, seperti yang kita sedia maklum, pahala solat sunat itu digandakan kepada seribu. Jika kita berada di dalam majlis ilmu pada bulan ramadhan, maka kita akan mendapat ganjaran pahala yang begitu besar di sisi Allah SWT. Begitu juga dengan amal kebajikan yang menjanjikan seribu kali ganda pahalanya berbanding bulan-bulan biasa.

Al-Quran Mulia
Sesungguhnya al-Quran itu adalah pedoman hidup insani. Diturunkan di bulan mulia, bulan Ramadhan. Kandungannya mencakupi segala permasalahan dunia. Sebagai contoh, al-Quran dengan jelas menyatakan bahawa “setiap penyakit itu didatangkan Allah bersama ubatnya.” Sudah terang lagi bersuluh bahawa setiap penyakit di dunia ini pasti ada ubatnya. Cuma mungkin kita belum menjumpainya. Itulah perlunya ilmu untuk kita mendalami ilmu al-Quran yang amat luas ini.

Al-Quran itu juga adalah nur buat umat manusia. Hidup kita akan gelap andai tiada al-Quran di dada. Kita terus sesat dalam cahaya! Di akhirat nanti, al-Quran lah yang akan menjadi teman yang akan sentiasa mendampingi kita.

...kuliah bersambung...
0 comments so far:

Copyright :: bila tinta berbicara :: | Using the GreenTech Theme | Bloggerized by Falcon Hive.com