POSTED BY ibn Nasir as-Syaukawi on 11:30 AM under
Sesungguhnya aku amat rindu. Namun sayang, perasaan itu bukan selalu singgah. Sekejap-sekejap sahaja. Alangkah indahnya hidup ini andai ianya selalu singgah. Bukan hanya lagak bagai musafir. Benar-benar harap agar ianya terus bermukim di hati!

Tatkala ia singgah, aku merasa cukup bahagia. Damai di hati sepanjang masa. Bibir ini tidak merasa letih untuk mengukir senyuman. Kerja-kerja seharian mudah sahaja aku bereskan.

Bersama rindu itu, lebih indah pabila dapat "berbicara" dengan yang dirindu. Manis sungguh. Bila berbicara, rasa ingin terus bersama. Tidak mahu berpisah. Walau sekejap, seringkali dipanjang-panjangkan agar masa bersama dapat dinikmati. Bersulam kasih sayang yang tak mungkin akan pudar, aku gembira. Sungguh!

Namun persoalan demi persoalan selalu sahaja menerjah di ruang hati. Adakah aku benar-benar menyintai yang dirindu itu? Atau rindu itu hanya lahir dari kata-kata? Adakah rindu itu benar-benar wujud? Atau sekadar untuk mengaburi insan lain agar tak dipandang serong? Mungkin juga aku telah melampiaskan rindu itu pada yang lain? Ya Allah, kentalkan lah jiwaku ini.

Yang dirindu...Rahmat Allah.

Ya Allah, rahmatMu menggunung tinggi, selangit nan meluas. Adakah rahmatMu akan sentiasa bersamaku? Aku amat takut andai berpisah dengannya. Walau rindu itu sekejap-sekejap, namun kuharap ianya tidak jemu bersamaku. Sebab aku terlalu bahagia bersama-mu!

0 comments so far:

Copyright :: bila tinta berbicara :: | Using the GreenTech Theme | Bloggerized by Falcon Hive.com